17 July 2012

Doalah sebaik-baik doa.

DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)





Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain yang kehairanan melihat perlakuan burung kecil, lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?” tanya makhluk Allah yang lain.

“Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim,” jawab burung pipit.

“Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Sia-sia saja usaha kamu itu,” kata burung lain pula.

Lalu dijawab oleh burung berkenaan: 

“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Burung kecil itu tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah SWT, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia telah menjalankan tanggungjawabnya; tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran. Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.


Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

Adakah anda seperti si burung kecil atau seekor cicak? Renung-renungkan!







NOTA:




Kadang-kadang saya sedih. Sedih dengan keadaan sekeliling. Kita memandang maksiat depan mata tanpa berkata-kata. Sedangkan menjadi tanggungjawab kita untuk menegur mereka walau dengan sepatah kata saja. Tapi kita tak mampu. Kita tak mampu  berdebat dengan mereka. Sebab kita tahu, akhirnya kita [saya] akan kalah juga. 


"Jika kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu cegahnya", kata Rasulullah. Baginda tidak hanya menyatakan apa yang kita perlu buat, tapi baginda juga sediakan jalan-jalannya untuk kita melakukan apa yang Baginda perintahkan, dengan kata-kata sambungan daripada Baginda, "Cegahlah dengan tanganmu. Jika tak mampu, dengan lisanmu. Jika itupun tak mampu, cegahlah dengan hatimu. Dan yang terakhir itu ialah iman yang paling rendah yang ada padamu". 


Allahuakbar!



Lemahnya iman saya. Subhanallah. Tapi hati ini tak kosong. Terdetik dihati, "Ya Allah, kesian mereka. Buat maksiat tanpa segan silu. Kau berilah mereka hidayah Ya Allah". Ya, DOA. Tanpa sedar, doa juga bolehmengubat hati kita jika kita tak mampu untuk menegur mereka.

"Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab. Di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah. Setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)


Semoga lepas ni,  saya mampu lakukan yang lebih baik daripada apa yang saya mampu, hari ini. Amin Ya Rabb.


2 comments:

Terima kasih atas perhatian anda! *___^